Sejarah RMS Carpathia

Pembinaan dan perkhidmatan awal

RMS Carpathia telah dibina oleh Swan Hunter & Wigham Richardson di limbungan kapal mereka di Newcastle upon Tyne, England. Ia telah dilancarkan pada 6 Ogos 1902 dan melalui ujian-ujian laut dari 22 hingga 25 April 1903. Carpathia menyesar 8,600 tan panjang (8,700 t) dan berkepanjangan 541 kaki (165 m) dan berkelebaran 64 kaki 6 inci (19.66 m).

Carpathia melakukan pelayaran sulungnya pada 5 Mei 1903 dari Liverpool, England ke Boston, AS dan berkhidmat di antara New York City, Gibraltar, Genova, Naples, Trieste dan Fiume.

Bencana Titanic

A.H. Rostron, R.D., R.N.R., sebagai ketua RMS Carpathia

Carpathia sedang berlayar dari New York City ke Fiume, Austria-Hungary (kini Rijeka, Croatia) pada malam Ahad, 14 April 1912. Antara penumpangnya ialah pelukis Amerika Colin Campbell Cooper dan isterinya Emma, jurnalis Lewis P. Skidmore, jurugambar Dr. Francis H. Blackmarr dan Charles H. Marshall, yang tiga anak saudara perempuannya berlayar di dalam Titanic.

Pengendali wayarles Carpathia, Harold Cottam, telah terlepas mesej-mesej awal dari Titanic kerana dia berada di anjungan ketika mesej diterima.[1] Dia kemudiannya menerima mesej-mesej dari Cape Race, Newfoundland, menyatakan mereka mempunyai trafik persendirian untuk Titanic. Dia memikirkan yang dia boleh membantu dan pada 12:11 a.m. pada 15 April dia telah menghantar mesej ke Titanic menyatakan bahawa Cape Race mempunyai trafik untuk mereka. Dia menerima isyarat kecemasan Titanic sebagai balasan.[1] Cottam mengejutkan Kapten Arthur Henry Rostron yang kemudiannya menetapkan arah tujuan kapal itu dengan segera pada kelajuan maksimum (17 kn (20 bsj; 31 km/j)) ke arah kedudukan terakhir Titanic yang diketahui, kira-kira 58 batu (93 km) jauh. Rostron mengarahkan air panas dan pemanasan kapal tersebut dihentikan untuk menghasilkan sebanyak mungkin wap untuk enjin-enjin. Pada kelajuan penuh, Carpathia memakan masa empat jam untuk mencapai Titanic, tetapi Titanic hanya terapung selama dua jam dan tenggelam sebelum Carpathia tiba, mengorbankan nyawa 1,523 penumpang dan krewnya. Pada 4:00 pagi, Carpathia tiba di tempat kejadian, selepas meredah medan ais yang berbahaya, dan menyelamatkan 705 orang yang terselamat daripada bot-bot keselamatan Titanic.[1]

Pingat yang dianugerahkan kepada ahli krew Carpathia atas penglibatan mereka dalam menyelamatkan mereka yang terselamat dari Titanic

Hasil usaha penyelamat mereka, krew Carpathia telah dianugerahkan pingat-pingat daripada mereka yang terselamat. Ahli krew telah dianugerahkan pingat gangsa, para pegawai menerima pingat perak, dan Kapten Rostron menerima piala perak dan pingat emas yang disampaikan oleh Margaret Brown. Rostron telah dikurnia darjah kesatria oleh Raja George V, dan kemudiannya dijemput menjadi tetamu di Rumah Putih oleh President Taft, di mana beliau dianugerahkan Pingat Emas Kongres, penghormatan tertinggi Kongres Amerika Syarikat boleh anugerahkan kepadanya.

Perkhidmatan dalam Perang Dunia Pertama

Ketika Perang Dunia Pertama, Carpathia telah digunakan untuk memindahkan tentera Kanada dan Amerika ke Eropah. Ia telah digunakan sebagai kapal pengangkut tentera oleh Pasukan Ekspedisi Kanada.[2] Sesetengah pelayarannya adalah dalam satu konvoi, belayar dari New York melalui Halifax ke Liverpool dan Glasgow.[3] Antara penumpangnya ketika tahun-tahun peperangan ialah Frank Buckles yang kemudiannya menjadi veteran Amerika terakhir yang terselamat dari perang tersebut.

Penenggelaman

Carpathia tenggelam setelah dibedil oleh tiga torpedo yang dilancarkan oleh kapal selam Tentera Laut Jerman Imperial U-55

Pada 15 Julai 1918, Carpathia meninggalkan Liverpool dalam satu konvoi menghala ke Boston. Pada pagi musim panas 17 Julai ia ditorpedo, pada jam 9:15, di Laut Celt oleh kapal selam Tentera Laut Jerman Imperial U-55. Daripada tiga torpedo yang dilancarkan ke arah kapal tersebut, satu melanggar bahagian sisi kiri kapal sementara yang lain menembusi bilik enjin, membunuh dua penjaga api dan tiga pemepat.[4] Sedang Carpathia mula tenggelam dari hadapan dan mengiring ke kiri, Kapten William Prothero memberikan arahan untuk meninggalkan kapal. Kesemua 57 penumpang dan 281 ahli krew yang terselamat menaiki bot keselamatan semasa kapal itu tenggelam.[4] U-55 timbul dan melancarkan torpedo ketiga ke arah kapal dan sedang menghala ke arah bot-bot keselamatan ketika sekoci kelas Azalea HMS Snowdrop tiba di tempat kejadian dan menghalau kapal selam tersebut dengan tembakan sebelum mengambil mereka yang terselamat dari Carpathia.

Carpathia tenggelam pada 11:00 pagi di kedudukan 49.25° N 10.25° B, kira-kira 120 batu (190 km) barat Fastnet.

Pencarian dan kerja-kerja penyelamatan

Pada 9 September 1999, servis wayar Reuters dan AP melaporkan bahawa Argosy International Bhd., yang diketuai oleh Graham Jessop, anak kepada peneroka bawah laut Keith Jessop, dan ditaja oleh Agensi Bawah Air dan Marin Kebangsaan, telah menemui bangkai Carpathia pada kedalaman 600 kaki (180 m), 185 batu (298 km) barat Land's End.[5] Cuaca buruk menghalang kapalnya meninggalkan kedudukan tersebut sebelum Jessop sempat mengesahkan penemuan tersebut menggunakan kamera bawah air. Namun, apabila dia kembali ke kedudukan tersebut, bangkai tersebut rupa-rupanya bukan Carpathia, tetapi adalah bangkai kapal Isis milik Hamburg-America Line yang tenggelam pada 8 November 1936.[6]

Pada tahun 2000, penulis dan penyelam Amerika, Clive Cussler telah mengumumkan bahawa organisasinya, NUMA, telah menemui bangkai sebenar Carpathia pada musim bunga tahun tersebut,[7][8] pada kedalaman 500 kaki (150 m).[9] Selepas ia diserang kapal selam, Carpathia mendarat di dasar lautan secara menegak. NUMA memberikan kedudukan anggarannya di 120 batu (190 km) barat Fastnet, Ireland.[10]

Bangkai kapal tersebut kini dimiliki oleh Premier Exhibitions Inc., sebelumnya dikenali sebagai RMS Titanic Inc, yang merancang untuk memperoleh semula objek-objek dari tempat nahas.[9]

Rujukan

WikiPedia: RMS Carpathia http://chriscunard.com/carpathia.php http://www.maritimequest.com/liners/carpathia/rms_... http://www.maritimequest.com/liners/carpathia_1903... http://www.maritimequest.com/liners/carpathia_data... http://query.nytimes.com/mem/archive-free/pdf?res=... http://www.thegreatoceanliners.com/carpathia.html http://www.titanic-titanic.com/carpathia_found.sht... http://www.numa.net/press/092200a.html http://www.numa.net/press/092200b.html http://www.sorbie.net/carpathia.htm